Site Network: Home | Blogcrowds | Gecko and Fly | About

Dr.Supyan Hussin

Dah siap tesis?

Itulah soalan yang menambah degupan jantung setiap pelajar pascasiswazah di universiti apabila telah berada tahun kedua atau ketiga pengajiannya.

Bilakah seorang pelajar itu harus mula menulis tesisnya? Apakah di tahun 1 atau 2 atau tiga atau selepas selesai kutipan data atau analisis data?

Pada asasnya, proses penulisan itu bermula pada hari pertama pelajar menyerahkan kertas usulannya kepada fakulti atau pusat untuk dinilai bagi penerimaan kemasukan ke pengajian pascasiswazah. Setelah mendaftar sebagai pelajar, proses penulisan akan terus bersambung dari masa ke semasa tanpa henti. Penulisan sesuatu esei atau tesis bersifat ‘recursive’ iaitu berulang-ulang dengan penambaikan dan pemantapan kandungannya. Tidak sempurna sesuatu penulisan tesis itu jika hanya ditulis sekali sahaja tanpa ada penambahbaikan dan pemantapan pada organisasisi, retorik idea, laras bahasa, format, dan kandungan. Oleh kerana ide dalam penulisan tidak datang sekali gus, maka pelajar harus merakamkan ide itu dalam kertas nota, telefon bimbit atau rakaman suara apabila sesuatu ide itu melintas dalam fikiran dan hatinya. Apabila anda sudah duduk untuk menulis, maka rujuk kembali kepada nota atau rakaman tadi.

Oleh itu pelajar tidak boleh berhenti menulis walaupun apa yang ditulis dan ditokok tambah itu agak kecil atau sedikit setiap hari atau setiap minggu. Rahsia kejayaan penulisan tesis ialah jangan berhenti menulis walaupun yang ditulis itu sedikit! Jangan bertangguh untuk menulis!

Dalam pengajian pascasiswazah terdapat 4 tahap yang mesti dilalui oleh setiap pelajar: pertama, ia bermula dengan perancangan kajian yang dimanifestasikan dalam Bab 1, 2, dan 3. Walaubagaimana pun, ia tidak bermaksud, Bab 1 hingga 3 dianggap muktamad atau selesai dan tidak boleh diubah. Dalam proses penulisan, semua bab boleh diubah, dibaiki, dan dimantapkan sepanjang pengajian pelajar tersebut hinggalah di hari ia akan menyerahkan tesisnya. Pada tahap kedua, pelajar mula mengumpul data. Di tahap ketiga, proses analisis data dan perbincangan dapatan yang dirakamkan dalam Bab 4 dan 5. Tahap keempat pula memerlukan pelajar memurnikan tesis sebelum diserahkan untuk penialaian. Pada setiap tahap, pelajar harus menambahbaik dan memantapkan kandungan tesisnya. Tempoh waktu bagi setiap tahap tidak terhad

Kita beralih pula kepada soalan seterusnya, apakah cabaran yang dilalui ketika menulis tesis? Cabaran ini boleh dibahagi kepada dua: dalaman dan luaran. Antara cabaran dalaman adalah tahap motivasi diri, keyakinan diri disiplin diri, dan kesihatan diri. Lazimnya pelajar pascasiswazah mempunyai motivasi yang tinggi untuk mengikuti pengajian pascasiswazah di peringkat awal, tetapi mulai pudar ditelan waktu dan dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti keperluan ekonomi, keluarga dan tugas di tempat kerja. Dalam hal ini, pelajar harus sentiasa berusaha mengekalkan tahap motivasi sedia ada kalaupun ia tidak mampu menambah tahap motivasi seterusnya.

Untuk mengekalkan tahap motivasi ini, anda harus cuba ingat kembali mengapa anda ingin atau perlu dapatkan ijazah sarjana atau doktor falsafah? Apa sebenarnya anda ingin capai dalam hidup ini? Apa yang anda ingin buat selepas mendapat ijazah berkenaan? Biarkan soalan ini bermain dalam benak hati dan fikiran anda sepanjang pengajian anda.

Anda juga harus berkomunikasi dengan penyelia anda dan mengadakan pertemuan dengan penyelia sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk terus rasa bermotivasi. Jangan mengelak dari berjumpa dengan penyelia atau bersembunyi di belakang tiang apabila terlihat penyelia dari jauh hanyalah kerana anda masih belum sempat menyiapkan sebahagian tulisan tesis anda sebagaimana anda berjanji dengan penyelia anda. Pertemuan dengan penyelia secara konsisten akan sentiasa menjadikan anda komited untuk terus menulis dan menyiapkan tesis anda. Hubungan baik (rapport, good will) yang terhasil dalam hubungan ini akan memulih dan menyegarkan tahap motivasi anda. Penyelia juga boleh menjadi kaunselor untuk mendengar masalah anda dalam proses penulisan tesis. Atau anda harus temui kaunselor rasmi dan tidak rasmi yang terdiri dari rakan sepejabat untuk menjadi tempat luahan perasaan dan kebimbangan anda semasa menulis tesis.

Seterusnya, dekati pelajar pascasiswazah yang lain untuk memberi dan mendapat sokongan moral selain daripada ahli keluarga dan rakan pejabat. Berkongsi perasaan bimbang dan apa yang anda lalui sepanjang pengajian bersama pelajar lain akan mengurangkan beban emosi kerana anda tidak keseorangan dalam proses penulisan tesis.

Seterusnya, hilang tahap keyakinan diri untuk menulis boleh berpunca dari dua sumber: kurang membaca atau lemah tahap pembacaan dan ‘tidak membiasakan diri untuk terus menulis; maka lahirlah rasa ‘takut’ (apprehension, writer’s block) untuk menulis. Ini satu fenomena biasa yang dialami oleh semua pelajar tetapi tidak harus dibiarkan berlarutan. Bagaimana menghadapinya? Anda harus meluaskan bacaan dan menyelami serta mendalami fokus bidang yang sedang dikaji khususnya ketika anda berada di tahap pertama (persediaan asas kajian) dan tahap kedua pengajian (kutipan data). Kemudian anda harus istiqamah atau konsisten dalam proses menulis kandungan tesis anda. Misalnya anda boleh tetapkan bahawa anda akan berikan masa 5 jam seminggu untuk menulis tesis anda jika anda tidak mampu memperuntukkan masa 2 jam sehari. Di sinilah disiplin diri harus berada di tahap yang tinggi; anda harus jujur pada diri, cekal hati, tepati masa, dan sabar dalam menulis. Hanya diri anda sahaja yang boleh mendisiplinkan diri anda dalam proses penulisan tesis ini. Penyelia hanya mampu membimbing dan menasihat anda tetapi disiplin diri tetap di tangan anda.

Cabaran dalaman yang tidak kurang penting ialah kesihatan diri. Sakit ringan mahupun sakit kronik tetap menjejaskan proses penulisan tesis anda. Bagi pelajar yang terlibat dalam kemalangan atau pelajar wanita yang mengandung ketika pengajian juga akan menjejaskan proses penulisan tesis masing-masing. Oleh itu, jaga kesihatan dengan baik. Tidur yang cukup. Rehat yang berpada. Makan yang seimbang. Berhati-hati di jalanraya atau di mana sahaja bagi mengelakkan diri daripada kemalangan. Bagi pelajar yang mengandung semasa menulis tesis, anggaplah ia rezki anugerah Tuhan.

Setelah kita melihat cabaran dalam, kita lihat pula kepada beberapa cabaran luaran: keluarga (suami/isteri, anak, saudara mara), tugas di tempat kerja dan persekitaran. Kesan dari cabaran luaran pastinya manambah beban kepada cabaran dalaman sedia ada dalam diri pelajar. Ia boleh melemahkan tahap motivasi diri, menurunkan tahap keyakinan diri, menjejaskan disiplin diri, dan kemudian menjejaskan kesihatan diri pelajar. Sokongan dan dorongan dari ahli keluarga dan rakan sepejabat amat membantu pelajar dalam proses penulisan tesisnya. Lazim berlaku apabila pelajar dan pasangannya serta ahli keluarganya tidak bersedia dari sudut mental dan emosi untuk melalui proses kehidupan ‘sementara’ di mana suami atau isteri, bapa atau ibu yang menjadi pelajar pascasiswazah terpaksa mengorbankan masa bersama keluarganya untuk diberikan kepada pengajian pascasiswazahnya. Lantaran perasaan kecewa, tidak gembira seperti biasa, takut, terasa terpinggir, dan pelbagai lagi perasaan negatif akan lahir pada diri sendiri dan ahli keluarga. Jika hal ini tidak dibendung, maka suasana persekitaran dan hubungan sesama manusia akan terjejas, dan sekaligus membebankan lagi cabaran dalaman diri pelajar dan menyulitkan proses penulisan tesis.

Apa anda harus buat? Pelajar dan pasangan serta ahli keluarganya haruslah menerima hakikat kehidupan baru bersifat ‘sementara’ ini yang memerlukan pengorbanan, sokongan, dan kerjasama antara satu sama lain. Perbincangan hati ke hati dengan ahli keluarga dan pengubasuaian dalam rutin kehidupan harus berlaku. Di sana juga harus ada semangat ‘memberi dan menerima’ dalam hal ini. Malah pertemuan antara penyelia dengan ahli keluarga pelajar yang sudah berumahtangga juga akan turut membantu mengurangkan perasaan negatif atau salah faham dalam kalangan mereka. Misalnya, sering kita terdengar apabila pelajar wanita/isteri yang ‘cuti belajar’ dianggap sebagai bercuti oleh keluarganya dan oleh itu, pelajar berkenaan harus berada di rumah untuk menguruskan rumahtangga dan anak-anak.Hakikatnya ‘cuti belajar’ bukan bermaksud cuti untuk duduk di rumah tetapi pelajar bercuti dari urusan kerja rasmi dan pelajar harus berada di tempat yang boleh membantunya menyiapkan kajian dan penulisan tesis. Tempat yang kondusif ialah di pejabatnya sendiri atau ruang yang lain dari rumahnya seperti di perpustakaan. Malang jika ada majikan pelajar yang tidak memberikan ruang kepada kakitangannya yang sedang cuti belajar untuk menulis tesis. Apapun, jadual keluarga dan jadual membaca serta menulis dapat membantu pelajar mengurus masa dengan hemat dan cermat untuk dirinya dan keluarganya.

Perkara akhir untuk perbicangan kali ini ialah beberapa langkah lain yang boleh membantu pelajar dalam menyiapkan tesisnya. Ikuti kursus, bengkel, atau kelas penulisan bagi meningkatkan kemahiran menulis dan bahasa. Jangan lepaskan peluang mengikuti kursus atau bengkel metod penyelidikan dan taklimat khusus di perpustakaan mengenai skop koleksi yang ada dan prosidur penggunaannya. Ambil kesempatan untuk membentangkan hasil penemuan awal dan penemuan akhir anda di wacana, meja bulat, dan seminar agar anda memantapkan lagi kandungan tesis anda disamping dapat menerbitkan kertas kerja anda berdasarkan kajian anda dalam prosiding dan jurnal. Menjadi satu keuntungan besar jika anda tahu mengekplotasi kemudahan Internet samada untuk mencari maklumat, berkongsi idea dalam beberapa forum berkaitan dengan bidang anda, dan berkomunikasi dengan pelajar, penyelidikan, dan sarjana pakar dalam bidang kajian anda yang berada di merata dunia.

Selamat maju jaya dalam penulisan anda.Sila rujuk laman web berikut untuk bacaan seterusnya

1. http://www.phys.unsw.edu.au/~jw/thesis.html#structure

2. http://www.eliteediting.com.au/how-to-write-a-thesis.php

3. http://phdmicroskills.wordpress.com/

0 Comments:

Post a Comment